Thursday, 17 March 2011

Dari Anas bin Malik r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bertemu dengan beberapa orang anak lalu baginda memberi salam kepada mereka.”

(Muslim)

Huraian
Rasulullah s.a.w adalah manusia sempurna yang kaya dengan sifat-sifat yang terpuji. Justeru, baginda adalah orang yang wajib dicintai dan diteladani melebihi manusia yang lain. Bagindalah idola yang sepatutnya dipuja-puja oleh kita selaku umat Islam, dulu, kini dan selamanya sama ada oleh sesiapa sahaja, golongan remaja, kanak-kanak mahu pun dewasa. Jika kita hidup di zaman baginda, nescaya bagindalah orang terbaik yang sentiasa ingin kita tiru gaya hidupnya, penampilannya sepertimana para remaja kita sekarang yang memuja dan meniru apa sahaja yang dipakai, dibuat, dilakukan atau apa jua yang berkaitan dengan diri orang yang diminatinya. Semuanya baik belaka. Rasulullah contohnya pandai memikat hati sesiapa sahaja yang melihat atau merasa kehadiran baginda. Manakan tidak, baginda tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Ketika bersalaman, baginda tidak melepaskan tangan sehingga yang dijabatnya itu melepaskannya. Rasulullah mengangkat tangan dan memberikan salam apabila melepasi kumpulan kanak-kanak sebagai tanda hormat dan kasih baginda kepada mereka, tidak kurang juga baginda menghormati orang-orang tua, kawan mahupun lawan. Inilah sifat sejati seorang yang pandai menjaga hati peminatnya. Baginda melakukan semua itu bukan untuk menjaga hati orang lain atau pun demi populariti dirinya sendiri sebagai seorang rasul tetapi dilakukan semua itu kerana ingin menjaga maruah Islam yang amat mulia. Baginda bukan menjadi fitnah kepada agama apalagi hingga membawa kesesatan kepada orang yang menyukainya.

No comments:

Post a Comment